Penghakiman si mati Kepercayaan akhirat Mesir Purba

Timbangan Jantung di Dewan Maat seperti yang digambarkan dalam Papirus Hunefer (Dinasti ke-19, s. 1300SM)

Bagi orang Mesir purba, si mati akan diadili oleh dewa-dewa Mesir dengan menilai kebaikan jiwa si mati. Idea ini berdasarkan kepercayaan Mesir bahawa orang akan hidup abadi. Mengadili jiwa-jiwa ini adalah bahagian terpenting untuk ke akhirat. Oleh itu, banyak lukisan adegan pengadilan ini muncul dalam teks-teks Mesir tentang akhirat. Setiap jiwa dihakimi satu per satu untuk memasuki akhirat. Apabila si mati selesai melalui alam ghaib, mereka tiba di Dewan Maat. Di sini, kesucian mereka akan menentukan jika mereka akan dibenarkan masuk ke Kerajaan Osiris.[29]

Papirus Ani: sebahagian daripada 42 Hakim Maat dapat dilihat, terduduk dan dalam saiz kecil Ammit "Pembaham Si Mati", dan (di atas) tasik api yang dijaga oleh babun-babun, daripada papirus Nebqed (Dinasti ke-18, kira-kira 1391-1353 SM)

Tugas pertama si mati ialah menyebut nama keempat-empat puluh dua Penilai Maat dengan betul, sambil menyatakan dosa yang mereka tidak buat semasa hidup.[30] Proses ini menunjukkan bahawa si mati tahu setiap nama hakim atau Ren itu, membuktikan mereka suci daripada dosa. Selepas si mati mengesahkan mereka tidak berdosa, si mati diberikan neraca yang digunakan untuk menimbang jantung mereka dengan bulu Maat.[31] Biasanya, Anubis dewa yang menjalankan ujian ini. Jika jantung si mati seimbang dengan bulu Maat, Thoth akan mencatatnya dan mereka akan dipersembahkan kepada Osiris, yang akan membenarkan mereka masuk ke Sekhet-Aaru. Walau bagaimanapun, jika jantung mereka lebih berat daripada bulu itu, ia akan dimakan oleh Dewi Ammit, menghapuskan jiwa si mati selama-lamanya.[32]